Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai
Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi 183 perkara. Ia merupakan satu
dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada
dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan
Perlembagaan Kemerdekaan 1957.
Sejarah Perlembagaan Malaysia
Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia
ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan Kemenangan Parti
Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun 1955, Tunku
Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama.
Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah
pertama ke arah membentuk kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju
untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada tahun 1956. Untuk
tugas penggubalan Perlembagaan, kerajaan British telah menubuhkan sebuah
Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British,
penadihat Majlis Raja-Raja dan Pemimpin-Pemimpin parti.
Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman
mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan
Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk
negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid
telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu. Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan
parti-parti politik, persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk
negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu
memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan. Memorandum
yang disebut sebagai Pakatan Murni iaitu persetujuan secara bertolak
ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak
orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja
Melayu, kedudukan agama islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan
istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya
Reid diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957.
Tujuan Perlembagaan
- Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil
- Mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah
- Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat
- Sebagai alat untuk myelesaikan masalah
- Menjamin riwayat negara bangsa
- Menjamin keamanan dan kestabilan negara
Perlembagaan ini dibahagikan kepada 15 Bahagian yang mengandungi 131 Perkara menyentuh pelbagai aspek pemerintahan iaitu :
Bahagian 1 : Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang Bagi Persekutuan
Malaysia adalah sebuah persekutuan yang
dianggotai 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan. Islam diiktiraf sebagai
agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman
dan harmoni. Perlembagaan adalah undang-undang utama persekutuan.
Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak
sah.
Bahagian 2 : Kebebasan Asasi
Kebebasan Asasi ialah hak yang kita
miliki iaitu hak untuk hidup, kebebasan daripada perhambaan dan menjadi
buruh paksaan, keseramatan di sisi undang-undang, kebebasan bergerak,
kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu, kebebasan agama, hak untuk
pendidikan dan hak untuk memiliki harta.
Bahagian 3 : Kewarganegaraan
Seseorang itu menjadi warganegara dengan
cara dilahirkan disini, berkahwin dengan seorang lelaki warganegara
Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia dan
tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan.
Bahagian ini juga menyatakan bagaimana seseorang itu boleh menamatkan
dan dilucutkan kewarganegaraan.
Bahagian 4 : Persekutuan
Bahagian ini memberi panduan sistem
kerajaan di Malaysia. Ketua utama persekutuan adalah Yang Di-Pertuan
Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis
Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan Yang
Di-Pertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja. Bahagian ini
juga mewujudkan Kabinet dan Pejabat Perdana Menteri serta Parlimen yang
terdiri daripada Yang Di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang
dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Bahagian 5 : Negeri-Negeri
Setiap negeri mempunyai perlembagaannnya
sendiri dan badan perundangan dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri.
Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang
tertentu. Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri mempunyai hak dan
keistimewaan masing-masing. Perhubungan antara Persekutuan dengan
Negeri-Negeri bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara
persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara yang membolehkan
Parlimen menggubal undang-undang dan terdapat pula perkara yang
membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang. Terdapat juga
perkara tertentu di mana kedua-dua boleh menggubal undang-undang.
Bahagian 6 : Peruntukan Kewangan
Bahagian ini menyatakan bahawa kerajaan
tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui
kuasa undang-undang.
Bahagian 7 : Pilihan Raya
Bahagian ini menyatakan hak-hak kita
sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita. Badan yang
ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihan raya dan menyediakan daftar
pemilih dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihanraya yang dilantik oleh
Yang Di-Pertuan Agong.
Bahagian 8 : Badan Kehakiman
Bahagian ini mewujudkan sistem kehakiman
di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh
ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia. Bahagian ini juga
menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan
Mahkamah Persekutuan dilantik.
Bahagian 9 : Perkhidmatan Awam
Bahagian ini mengenalpasti perkhidmatan
awam di Malaysia, termasuk Pasukan Polis, Angkatan Tentera dan
Perkhidmatan Pelajaran. Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam
seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta kerajaan-kerajaan
persekutuan dan negeri-negeri. Pelantikan, kenaikan pangkat dan
penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh
'Suruhanjaya-Suruhajaya'.
Bahagian 10 : Kuasa Khas Menentang Kuasa Subversif dan Darurat
Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal
undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain dalam Perlembagaan
semasa darurat atau atas sebab-sebab keselamatan awam.
Bahagian 11 : Am dan Pelbagai
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
Yang Di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan
istimewa orang melayu dan peribumi Sabah dan Serawak serta memelihara
kepentingan sah komuniti-komuniti lain.
Bahagian 12 : Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Serawak
Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Serawak, contohnya perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Serawak.
Bahagian 13 : Peruntukan Sementara dan Peralihan
Bahagian ini menerangkan bagaimana
undang-undang yang digubal sebelum merdeka masih berkuat kuasa
sehinggalah Parlimen menggubal undang-undang baru bagi menggantikan
mereka.
Bahagian 14 : Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-Raja dan Sebagainya
Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara dalam bahagian ini.
Bahagian 15 : Prosiding Terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja
Di bawah bahagian ini, prosiding oleh
atau terhadap Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di
hadapan 'Mahkamah Khas'.